Gunung Benum

Gunung benum merupakan gunung kedua tertinggi di negeri Pahang selepas Gunung Tahan dan merupakan puncak gunung yang kesepuluh tertinggi di Semenanjung Malaysia. Banjaran Benum ini terletak diantara sempadan dua buah daerah iaitu sempadan daerah Jerantut dan daerah Raub. Gunung ini boleh didaki menerusi tiga cara iaitu dari Sungai Klau di Raub, dari Kampung Ulu Cheka di Jerantut dan dari perkampungan orang Asli di Kampung Damak Jerantut. Pendakian menerusi Sungai Klau lebih cepat untuk sampai ke puncak kira-kira 2 atau 3 jam manakala pendakian yang agak sukar dan jauh menerusi Kampung Ulu Cheka di sebelah Jerantut. Pendakian menerusi Sungai Klau di Raub haruslah melalui Air Terjun Lata Berembun. 

Jika pendakian menerusi Kampung Ulu Cheka di sebelah Jerantut pula pendakian akan bermula dari Kampung Tengah, Ulu Cheka dan untuk sampai ke kawasan pendakian perlulah melalui perkampungan kecil di Kampung Damak menuju ke Kampung Ulu Cheka sehinggalah sampai di Kampung Tengah Mukim Ulu Cheka Jerantut. Melalui Kampung Tengah ini pendakian agak sukar dan terpaksa menempuh bukit yang tinggi serta dipenuhi pelbagai spesis tumbuhan.

Gunung Benum merupakan gunung kesepuluh tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2107 meter (6916 kaki) dari paras laut dan ia merupakan gunung kedua tertinggi di Negeri Pahang selepas Gunung Tahan. Banjaran Gunung Benum terletak diantara sempadan tiga buah daerah iaitu Jerantut, Temerloh dan Raub. Topografi kawasan ini meliputi kawasan berbukit-bukau dengan tanah rendah yang mendatar dan terdapat juga kawasan berpaya dibeberapa bahagian. Disamping itu, kawasan ini diliputi oleh hutan tropika sehingga ke hutan pergunungan. 

Rezab Hidupan Liar Krau dimana terletaknya Gunung Benum merupakan kawasan perlindungan yang tertua di Malaysia. Ianya diwartakan pada 9 Jun 1923 dengan kawasan seluas 62395 hektar. Rezab ini merupakan kawasan perlindungan Hidupan Liar kedua terbesar disemenanjung Malaysia selepas Taman Negara.

  

http://pdtjerantut.pahang.gov.my/index.php/profail-daerah/pelancongan/tempat-tempat-menarik/9-profail-jabatan/51-gunung-benom

Tempat Bersejarah

Makam Pawang Nong

Pawang Nong atau nama sebenar beliau ialah Haji Nong Taib bin Santan adalah merupakan Pawang Diraja Negeri Pahang suatu masa dahulu. Beliau adalah pengikut serta dikatakan pernah menuntut dengan pahlawan Pahang yang terkenal iaitu Mat Kilau yang berjuang menentang penjajah suatu ketika dahulu di sebelah Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Beliau telah dilahirkan di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Benta, Kuala Lipis pada tahun 1874 dan beliau telah meninggal dunia pada 10 November 1977 di Kampung Ulu Cheka. Makam beliau boleh dilawati di perkarangan Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut. Beliau mempunyai dua orang isteri serta dikurniakan 11 orang anak. Isteri pertama beliau bernama Patam Mat Sama yang dikurniakan 8 orang anak. Manakala isteri kedua beliau bernama Hajah Halimat binti Mak Long yang dikurniakan 3 orang anak.

Beliau merupakan pengasas atau pembuka Kampung Ulu Cheka bersama 7 orang kawannya pada 7 Julai 1907. Beliau dilantik sebagai Ketua Kampung pertama sehingga tahun 1966. Beliau juga merupakan pengasas Masjid Kampung Ulu Cheka serta merupakan Pawang Utama di kampung ini dan menjadi Pawang Diraja. Selain itu, beliau juga merupakan pengasas seni silat cekap di Kampung Ulu Cheka serta merupakan Pahlawan Melayu Pahang yang menentang penjajahan komunis dan tentera Jepun di daerah ini. Di kalang penduduk setempat yang rapat memanggilnya dengan gelaran Aki We atau Moyang We.

Selain dari kebolehan beliau mengubati pelbagai jenis penyakit dengan menggunakan kaedah perubatan tradisional, beliau juga merupakan seorang pendekar silap cekap dan diceritakan mempunyai ilmu kebal serta ilmu kalis beli. Dari sumber lisan orang tua dahulukala pernah menceritakan bahawa Pawang Nong pernah ditangkap komunis lalu dirantai tangan beliau dengan besi, namun dengan kehebatan ilmu yang beliau ada dengan mudah sahaja melepaskan rantaian atau ikatan besi tersebut. Beliau juga pernah ditembak namun pelurunya hanya memasuki poket baju yang beliau pakai sahaja tanpa dapat mencederakan beliau. Dikatakan juga beliaulah yang berjaya menangkap orang minyak yang berleluasa di sekitar perkampungan Ulu Cheka dan Kampung Damak suatu masa dahulu.

Dikhabarkan juga melalui cerita lisan orang tua-tua dahulukala bahawa ketika zaman penjajahan tentera jepun, beliau berjaya memagari dari dilihat atau dicerobohi oleh tentera Jepun untuk memasuki kawasan perkampungan dari Kampung Damak sehinggalah ke Kampung Ulu Cheka. Oleh kerana kemasyhuran nama beliau ketika itu, ramai yang datang untuk belajar dan berguru dengan beliau khususnya dalam bidang perubatan tradisional.

Makam beliau boleh dilawati di Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang. Atas jasa-jasa beliau ini sebuah sekolah rendah kebangsaan dinamakan sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Pawang Nong Ulu Cheka bagi mengingati dan mengenang jasa beliau dalam mempertahankan dan memperjuangkan orang-orang Melayu suatu masa dahulu.

  

http://pdtjerantut.pahang.gov.my/index.php/profail-daerah/pelancongan/tempat-tempat-menarik/9-profail-jabatan/52-makam-pawang-nong