KAMPUNG DAMAK

Kita semua tahu bahawa perkataan Damak itu, ialah sejenis peluru buluh sumpitan. Tetapi nama Kg. Damak ini bukanlah dari Damak sumpitan terus menjadi nama Kg. Damak seperti hari ini.

Mengikut cerita di dalam hutan pada masa itu banyak kumpulan orang Asli. Tiap-tiap kumpulan ada batinnya, seperti di Bukit Raya ada Batin Raya namanya. Di Tg. Besar terus ke Sg. Terlang batinnya bernama Batin Raya Barau. Di Kerau batinnya bernama Batin Weh dan di Damak pula batinnya bernama DAMAK. Agaknya daripada nama damak sumpitan ini berjangkit kepada nama batin dan nama batin ini berjangkit kepada nama sungai dan seterusnya kepada KG. DAMAK.

Mengikut cerita Batin Damak ini bercita-cita besar, ia hendak menjadi Raja Rimba iaitu Raja di hutan kawasan ini. Maka orang di dalam kumpulannya sangat bersetuju, tetapi puak batin lain tidak bersetuju. Sungguh pun begitu ia meneruskan juga kemahuannya dan pergi ke Tg. Besar dengan membawa dua ekor beruk untuk dipersembahkan kepada Datuk Muda Mat Piah. Dia meminta supaya dia dilantik menjadi raja rimba, maka Tok Muda Mat Piah pun melantiklah ia dengan gelaran “Mangku Damak”, maka merentaslah dia sepanjang Sg. Damak hanya dalam kumpulannya sahaja.

Pada suatu ketika maka matilah Batin Raya Barau yang di Tg. Besar, kerana kekosongan batin ditempat itu, maka ia selalulah datang ke Jerantut. Pada masa itu saudagar mula membuka ladang di Batu Balai. Pada ketika itu orang pun beransur-ansur ramai dan juga pintu keluar masuk ke Kg. Ulu Cheka. Sg. Cheka di jambatan Batu Balai, terkenal dengan keindahannya dan keasliannya yang belum tercemar. Iaitu pasirnya putih, airnya jernih dan sejuk. Sungainya besar, deras dan tohor pula mengikut ceritanya.

Orang ramai tidak suka membuka paya daerah Batu Balai, kerana disitu ada batu Lop. Padanya kurang elok, begitulah pada pendapat mereka. Tetapi ada juga orang yang membuka membuat paya dihulu jambatan iaitu salah seorang daripadanya dikenali namanya Tok Rasul sudah meninggal dunia di Mekah, wallahualam.

Pada 1 April 1932, Ismail b. Chu Seman telah berhenti daripada membeli rotan, dia dan saudaranya telah membuka Kg. Jeor Batu 35, Batu Balai. Beliau telah menjadi ketua kampung Batu Balai, pada masa itu Batu Balai penduduknya kurang berkembang kerana tanah paya kurang menjadi sehingga selepas darurat tahun 1948.

Barulah orang ramai datang daripada Kelantan hingga berkembang seperti hari ini tahun 60an.

Semasa darurat Kg. Batu Balai dipindahkan sebagaimana Kg. Damak dan Som juga. Tetapi ladang getah Batu Balai kemudian sedikit dipindahkan kerana ladang ini ada Post Sepecil Costabel yang menjaganya. Apabila kebun getah ini dijual, Balai Polis Batu Balai telah didirikan pada tahun 1952 dan telah diubah namanya kepada Rumah Pasong 48.

Batin Tg. Besar akhirnya meninggal dunia di Bukit Puchok di Ulu Sg. Babi, Jerangsang dalam tahun 1950an. Jasadnya tidak ditanam, hanya dibubuh pada rumah atas pokok yang tinggi kerana ianya orang raja.

Kg . Damak Dibuka Kali Pertama.

Oleh kerana Damak ini sudah menjadi pintu masuk ke Ulu Cheka selepas Batu Balai pada masa dahulu. Sungguh pun Damak ini berhampiran dengan jalanraya, tetapi ia masih hutan belantara kerana tiada siapa yang menerokanya sedangkan Ulu Cheka sudah ada orang lebih awal lagi. Orang yang mula membuka Kg. Damak ini ialah orang Melayu dan orang Cina. Mereka membeli ayam dan rotan. Pada masa ini pekan sehari adalah pada hari Isnin.

Bila orang sudah ramai dan ada kedai-kedai, orang pun mula membuka  sebuah pekan sehari, kepunyaan orang Ulu Cheka iaitu pada hari Isnin tahun 1937. Di sinilah orang-orang Ulu Cheka menjual hasil pertanian dan ayam itik. Hinggalah pekan ini kekal hingga zaman pemerintahan Jepun 1942  - 1945. Seterusnya darurat pada tahun  1948. Orang di Kg. Damak habis dipindahkan, maka Kg. Damak menjadi padang jarak padang terkukur. Tetapi pekan sehari pada hari Isnin tetap ada seminggu sekali hanyalah untuk orang-orang daripada Ulu Cheka dengan mengikut jalan denai sejauh lima (5) batu. Apabila jalan tanah merah atau jalanraya daripada Damak ke Tg. Puteri, Ulu Cheka dibina tahun 1954 orang pun mulalah membuka kedai di simpang Damak.

Membuka Damak Kali Kedua.

Iaitu pada 13.4.1953, Khatib Ahmad atau lebih dikenali sebagi Khatib Bagoh dari Tulang Padang, Budu. Mahmud b. Tong Ulu Cheka, Sulaiman b. Pawang Nong Ulu Cheka dan diikuti pula oleh orang-orang lain. Apabila darurat tamat tahun 1960 orang pun berduyun-duyun datang hinggalah menjadi sebuah Kampung Damak Baru seperti hari ini.

Motto :

Bersatu teguh, Bercerai Roboh